Wednesday, April 27, 2011

Program Matrikulasi KPM 2011

Program Matrikulasi merupakan satu program persediaan bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melayakkan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah pertama dalam bidang sains, teknologi dan perakaunan. Sebelum ini program matrikulasi telah dikendalikan oleh beberapa Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) lebih 30 tahun yang lalu dengan cara dan corak pelaksanaan yang berbeza.

Bahagian Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia (BMKPM) telah mengambil kumpulan pertama pelajar matrikulasi daripada kalangan pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) pada awal tahun 1999. Pelajar-pelajar ini telah ditempatkan di Kolej Yayasan Pelajaran MARA, Bangi, Selangor. Selepas itu beberapa lagi Kolej Matrikulasi telah dibuka, yang terbaru adalah Kolej Matrikulasi Selangor.

Bermula pada pengambilan tahun 2011/2012 ini, Program Matrikulasi telah berubah ke dalam bentuk program Matrikulasi yang baru. Ini adalah usaha pembaharuan setelah lima tahun program yang lama dijalankan. Walaupun begitu hanya Jurusan Sains yang terbabit dalam perubahan ini. Manakala Jurusan Perakaunan dan Teknikal masih mengekalkan struktur program yang sama seperti yang telah dilaksanakan sebelum ini.

Jenis Program Matrikulasi KPM

Program Matrikulasi Satu Tahun (PST)

PST dijalankan untuk dua semestar yang melibatkan;

  1. Jurusan Sains
  2. Jurusan Perakaunan
  3. Jurusan Teknikal

Program Matrikulasi Dua Tahun (PDT)

PDT dijalankan untuk empat semestar yang melibatkan;

  1. Jurusan Sains

Jurusan Sains

Program Matrikulasi Sesi 2011/2012 yang berwajah baru ini memberi peluang kepada para pelajar daripada latarbelakang Sains untuk memilih tiga modul yang ditawarkan untuk pengambilan yang akan datang.

Perubahan yang akan dilaksanakan adalah di mana tiada lagi program Sains Hayat dan Sains Fizikal tetapi diganti dengan program berbentuk modul iaitu Modul I, Modul II dan Modul III.

Mata pelajaran teras yang ditawarkan bagi setiap modul dalam Jurusan Sains adalah seperti berikut;

  • Modul I – Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik.
  • Modul II – Fizik, Kimia, Sains Komputer dan Matematik.
  • Modul III – Biologi, Kimia, Sains Komputer dan Matematik.

Kedua-dua Jurusan Sains dalam program PST dan PDT mempunyai ketiga-tiga modul yang sama.

Jurusan Perakaunan

Jurusan Perakaunan dijalankan hanya dalam program satu tahun atau PST sahaja.

Mata pelajaran teras yang ditawarkan bagi Jurusan Perakaunan adalah Matematik, Perakaunan, Ekonomi dan Pengurusan.

Jurusan Teknikal

Jurusan Teknikal dikhaskan kepada pelajar dari sekolah menengah teknikal atau pelajar dari sekolah harian tetapi mempunyai latar belakang mata pelajaran teknologi kejuruteraan. Jurusan Teknikal juga hanya dalam program satu tahun atau PST sahaja.

Mata pelajaran teras yang ditawarkan bagi Jurusan Teknikal adalah Matematik, Kimia Kejuruteraan, Fizik Kejuruteraan dan Pengajian Kejuruteraan Awam/Mekanikal/Elektrik & Elektronik.

Mata Pelajaran Wajib

Mata Pelajaran yang wajib diambil oleh semua pelajar dari semua jurusan adalah Bahasa Inggeris, Kemahiran Dinamika dan Pendidikan Islam atau Pendidkan Moral.

Kokurikulum

Semua pelajar Matrikulasi diwajibkan juga mengambil salah satu daripada kokurikulum yang ditawarkan, iaitu Sukan dan Permainan, Kelab dan Persatuan atau Pasukan Beruniform.

Keputusan Permohonan Matrikulasi 2011

Keputusan permohonan Program Matrikulasi KPM 2011 akan diketahui pada 28 April 2011.

Senarai Kolej Program Matrikulasi KPM

Maklumat

Sila rujuk laman web Bahagian Matrikulasi KPM untuk maklumat lanjut.

Sila hubungi talian 03 8884 4036/ 4040/ 4083 jika terdapat sebarang pertanyaan berkaitan dengan Program Matrikulasi ini.

No comments:

disable click

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...